Dipetik dari ohartis.com
Pemergian Ahmad Ammar, seorang mujahid yg disayangi ramai telah membuka mata dan jiwa masyarakat bukan hanya di Malaysia tapi juga di Turki. Di bumi Indo-China (Kampuchea) pun ada yg bertanyakan tentang arwah. Begitu hebat penangan assyahid Ahmad Ammar. Semoga perjuangan dan coretan hidupnya akan membakar semangat jihad anak muda yg ada. Satu-satunya rakyat Malaysia yang dimakamkan bersebelahan Sahabat Rasulullah SAW ,Sayyidina Abu Ayub al-Ansari di permakaman Eyub, Turki. InsyaAllah.
Ini adalah perbualan terakhir arwah bersama kakaknya. Petanda yang arwah akan pergi untuk selama-lamanya.
Berikut dipetik dari Abim.org.my
3 November 2013:- Seluruh warga besar ABIM dan rangkaiannya mengucapkan takziah atas kembalinya ke rahmatullah, sahabat kita Saudara Ahmad Ammar (dua dari kanan serta berkaca mata) yang merupakan anak kepada Tuan Hj Ahmad Azam Abdul rahman, Presiden ABIM (1997-2005). Ammar merupakan seorang ahli dan pimpinan abim yang aktif. Beliau meninggal di istanbul, yg kini berada di sana kerana mengikuti pengajian peringkat ijazah.
Saat pertama kali aku diperkenalkan kepadanya, ku lihat dia seorang yang pendiam. Aku cuba mengagak inikah anak En. Azam yang pernah kutemui ketika program tamrin di Taman Pertanian beberapa tahun yang lalu. Ketika itu dia baru sahaja menamatkan persekolahan menengahnya. Aku bertanyakan kepadanya adakah dia masih ingat program tersebut.
"Ya, abang Midi beri kuliah subuh sebelum sesi ayah saya", jawabnya. Sepanjang permusafiran di bumi Istanbul hujung 2012, Ammar banyak membantu ku. Sungguh fasih dan lancar dia bercerita berkenaan sejarah Empayar Uthmaniyah. Dia begitu teruja apabila kami melewati beberapa kubu dan tempat bersejarah di sekitar Bandaraya Istanbul. Dari sosok penampilannya tiada yang menjangka pemuda ini begitu meminati sejarah. Satu subjek yang tidak popular dikalangan muda-mudi hari ini.
Sewaktu di Muktamar Abim baru-baru ini, aku hanya sempat berbalas salam dan senyuman. "Bila pulang ke Turki?" tanyaku. "Tak lama lagi", jawabnya ringkas. Aku tak sempat berbual panjang kerana terpaksa menuruti aturcara muktamar yang agak padat.
Pagi ini aku dikejutkan dengan pesanan ringkas yang merenggut kedamaian diri. Ammar telah dijemput Ilahi. Selesai solat subuh aku menghubungi En. Azam, menyampaikan salam takziah mewakili warga Abim, berkongsi duka atas pemergian anak lelaki tunggalnya, penyeri mahligai abadi.
Menjelang tengahari ini banyak sekali coretan dan gambar yang dikongsikan oleh teman-teman seperjuangan. Jelas hadirmu memberi makna kepada semua. Di usia mudamu, kau berbudi dalam perbatasan yang tersendiri.
Ammar, perkenalan singkat kita akan terus abadi dalam ingatan ini. Hajatku untuk mempelajari dan memahami sejarah Khalifah Uthmaniah daripada mu tidak kesampaian. Keterujaan mu bercerita mengenai kegemilangan pemerintahan Islam era Uthamaniah begitu mengkagumkan aku. Ya, kesimpulan dari pertemuan singkat kita,bahawa umat Islam perlu mempelajari kegemilangan dari sejarahnya sendiri akan terus bersemadi di sanubariku seperti jasadmu yang mendiami Istanbul selamanya. Damailah engkau bertemu Rab ul-Jalil, yang mengetahui hikmah disebalik setiap peristiwa.
Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.
Wallahu a'lam.
Amidi bin Hj. Abdul Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
No comments:
Post a Comment